SEMENYIH: Banjir yang melanda Lembah Klang minggu lalu turut meninggalkan kesan buat bekas juara silat dunia, Zakri Ibrahim.

Kawasan kediamannya yang terletak di Taman Sri Tanjung, dekat sini yang didiami sejak 21 tahun turut dilanda musibah apabila air naik sehingga paras paha.

Namun, Zakri yang meraih gelaran juara dunia pada 2000 itu reda dan menganggap bencana itu sebagai ujian Allah kepada hambanya.

"Pada hari kejadian Sabtu lalu, saya dapat kesan longkang sudah dinaiki air ketika pulang dari surau.

"Saya terus mengarahkan isteri dan anak untuk mengemas barang. Lebih kurang jam 11 malam, air sudah melimpah dan kemudian sudah naik sehingga paras paha pada jam 2 pagi.

"Keesokan harinya, air masih berada di paras sama, tidak bergerak dan statik. Namun bagi saya, ini ujian di mana Allah hanya baru 'jentik'.

"Kita harus bersabar dan cuma saya sedih dengan jiran kerana dia lebih terkesan kerana banyak barang tidak dapat diselamatkan," kata Zakri kepada media selepas menerima kunjungan wakil Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), hari ini.

Kunjungan YAKEB disertai Ahli Lembaga Pengarahnya yang juga bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor serta beberapa pegawai bagi menghulurkan bantuan berbentuk kewangan.

"Terima kasih kepada pasukan YAKEB kerana hadir memberikan bantuan. Apabila saya kena banjir, aduan pertama adalah kepada YAKEB dan orang pertama yang menelefon saya adalah Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (Pengerusi YAKEB) yang bertanyakan khabar.

"Ketika itu, saya berada di tingkat atas rumah. Dalam keadaan emosi tak berapa stabil, beliau memberikan nasihat, pandangan dan saya dapat tenang sedikit.

"Saya berterima kasih kepada YAKEB kerana prihatin atas nasib yang menimpa bekas atlet negara," kata Zakri. Sementara itu, Malek berkata, YAKEB akan sentiasa membantu ahlinya dan menasihati supaya mereka yang dilanda musibah banjir dapat menghubungi yayasan untuk tindakan selanjutnya.

"Buat masa ini seramai 10 keluarga bekas atlet berada dalam senarai untuk menerima bantuan. Hari ini kita beri bantuan di sini, Telok Gong dan beberapa kawasan di Johor.

"Ada juga yang masih belum mengadu, sebab keadaan masih belum pulih sepenuhnya. Saya harap mana-mana yang berkemampuan, menteri tolonglah bantu kita, bukan saja kepada YAKEB tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

"Buat masa ini, kita hanya menunggu mesej daripada pengadu (ahli) untuk kita bantu. Kalau ada laporan, kita akan sedia membantu," kata Malek.

 

Sumber daripada Berita Harian 

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Dec 25, 2021