KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) terus memainkan peranannya dengan proaktif apabila menyantuni dua bekas atlet negara menerusi aktiviti 'Visit and Treat' Skuad Prihatin YAKEB di Pulau Pinang selama dua hari bermula kelmarin.

Antara bekas atlet yang menerima kunjungan itu adalah bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohamed Khalil Hashim dan ahli keluarga Allahyarham Muslifah Zulkifli iaitu bekas atlet menembak negara.

Dalam kunjungan itu, YAKEB menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Khalil yang baru pulih daripada strok atau angin ahmar manakala keluarga Muslifah menerima skim bantuan khas YAKEB (khairat kematian) sebanyak RM3,000.

Rombongan YAKEB yang diketuai pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abd Majed turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, semalam.

Pada pertemuan itu, YAKEB menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membantu bekas atlet kebangsaan yang berasal dari Pulau Pinang.

Noorul berkata YAKEB merancang mengumpulkan bekas atlet kebangsaan dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dalam satu sesi pertemuan yang dijangka diadakan pada Februari tahun depan.

Katanya, seramai 500 bekas atlet akan dijemput bagi menyertai sesi berkenaan yang dijangka diadakan di Pulau Pinang.

"Pertemuan ini sangat penting untuk kami bagi membina hubungan yang lebih rapat dengan bekas atlet kebangsaan. Kami mahu tahu keadaan semasa mereka terutama sepanjang pandemik COVID-19 nanti," katanya.

 

Sumber daripada : Berita Harian

 

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Nov 24, 2021