KUALA LUMPUR: Beberapa legenda bola sepak negara disantuni Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menerusi aktiviti ‘Visit and Treat’ Skuad Prihatin YAKEB yang diadakan di Pulau Pinang dan Kedah bermula semalam sehingga hari ini.
Antara legenda bola sepak negara yang menerima kunjungan YAKEB adalah Datuk M Kuppan, Datuk Shukur Salleh dan ahli keluarga Allahyarham Datuk Namat Abdullah dan Allahyarham Datuk Mohamad Bakar.
Dalam kunjungan yang diadakan itu, YAKEB bukan setakat menziarah malah turut menyampaikan skim bantuan khas YAKEB (khairat kematian) serta sumbangan kepada semua legenda bola sepak negara itu.
Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abd Majed berkata, kehadiran yayasan itu untuk membuktikan bahawa pihaknya begitu prihatin kepada kebajikan bekas atlet walaupun ada yang sudah meninggal dunia.
“Kehadiran kita juga memberi nafas dan semangat baharu kepada keluarga Allahyarham di mana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta YAKEB sentiasa mengambil berkat untuk menjaga kebajikan.
“Semua skim yang kami ada akan dihulurkan kepada bekas atlet,” katanya.
Sementara itu, waris kepada Mohamad Bakar, Siti Mardhiana sangat menghargai sumbangan yang diberikan kerana ia menandakan bahawa jasa ayahnya sentiasa diiktiraf.
Begitu juga dengan waris kepada Namat, Datin Mahani Sulaiman yang bersyukur kerana rakan kepada arwah dan YAKEB sentiasa mengambil berat sewaktu suaminya masih hidup dan terus menziarah untuk bertanya khabar walaupun selepas ketiadaannya.
M Kuppan yang mengidap penyakit osteoarthritis pula berkata, kehadiran YAKEB memberi sokongan moral dan perhatian yang amat diperlukan memandangkan dia kesunyian dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.
“Saya rindukan anak dan cucu saya yang tidak dapat pulang ke sini kerana PKPB. Terima kasih kepada YAKEB kerana sudi menziarah dan bertanya khabar,” katanya.
sumber daripada : Berita Harian Online