Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) sudah menghantar wakil untuk meninjau keadaan kesihatan terkini legenda bola sepak negara yang pernah beraksi dalam Sukan Olimpik Munich 1972, Harun Jusoh.

Harun, 73, yang juga legenda bola sepak Terengganu kini bertarung dengan penyakit radang sendi sekali gus memerlukan penjagaan rapi kerana tidak mampu bergerak dan hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas untuk meneruskan hidup.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, wakil pihaknya akan mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan Harun selain melihat rawatan bersesuaian untuknya pada masa akan datang.

"Walaupun Harun tidak berdaftar sebagai ahli, kami mengambil inisiatif melawatnya dan membantu mendaftar supaya dapat menerima bantuan diperlukan. Sekarang ini, kita akan senaraikan keperluan Harun seperti susu dan lampin pakai buang seterusnya akan menyediakan bergantung kepada peruntukan yang ada," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, isteri Harun iaitu Sharifah Azizah Syed Omar, 69, memaklumkan suaminya terlantar sakit sejak lebih sebulan lalu dan kini mengharapkan bantuan orang lain untuk menguruskan diri termasuk mandi dan memakai lampin pakai buang.

Harun sebelum ini, menghidap sakit saraf selepas bersara daripada arena bola sepak namun ketika itu masih lagi berupaya melakukan kerja.

Namun sejak lebih sebulan lalu keadaan kesihatannya mulai merosot selepas disahkan menghidap radang sendi dan hanya bergantung kepada susu khas sebagai sumber makanan.

sumber daripada : METRO

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Apr 27, 2021

Skip to toolbar