KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyasarkan seramai 650 bekas atlet kebangsaan untuk  menerima bantuan Aidilfitri berjumlah RM65,000.

Kesemua penerima terdiri daripada kategori B40, asnaf dan mereka yang memerlukan sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid berkata, program ini dianjurkan bagi mengenang dan menghargai jasa bekas atlet-atlet kebangsaan yang banyak mengharumkan nama negara.

“Kita adakan program sebegini untuk membantu bekas atlet yang hidup serba kekurangan selain mengenang jasa mereka yang telah mengharumkan nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Seramai 650 bekas atlet menjadi sasaran YaPIEM untuk dibantu melibatkan 500 penerima akan menerima bantuan Bingkisan Aidilfitri berupa biskut raya bernilai RM100, manakala 150 bekas atlet lain akan menerima bantuan tunai RM100.

“Sumbangan ini turut mendapat kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang bertindak sebagai pengelola bagi mengumpul bekas atlet kebangsaan yang hadir untuk menerima sumbangan hari ini,” katanya pada Majlis Sumbangan Bingkisan Aidilfitri bersama bekas atlet kebangsaan di sini hari ini.

Setakat hari ini, seramai 150 bekas atlet telah dikenal pasti untuk diberi sumbangan dan program hari ini , seramai 25 atlet hadir manakala bakinya akan disalurkan kemudian.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan memaklumkan, menjadi satu keperluan utama untuk memastikan kebajikan para atlet mahupun bekas atlet terus terbela selari dengan jasa dan pengorbanan mereka dalam mengharumkan nama negara.

“Sepatutnya perlu ada satu peruntukan khas agar bekas atlet kebangsaan ini dibantu terutama dari segi kebajikan agar tidak timbul isu mereka hidup susah selepas bersara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Sumber daripada Kosmo Digital

About the Author

By / WordPress › Error

There has been a critical error on this website.

Learn more about troubleshooting WordPress.