KUALA LUMPUR: Bekas pemain hoki Sukan Olimpik Munich 1972, Takbir Ahmad Nazir Mohd adalah antara yang terawal menerima sumbangan daripada pemegang wakalah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang juga pembayar zakat di Pusat Pungutan Zakat MAIWP (PPZ-MAIWP) melalui Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di sini, hari ini.

Takbir yang bersama pasukan kebangsaan menamatkan saingan Olimpik Munich di ranking kelapan daripada 16 negara bertanding, menerima bantuan RM400 selain Bakul Rezeki dalam usaha membantu beliau meneruskan kelangsungan hidup ketika pandemik COVID-19.

Turut menerima sumbangan awal dalam majlis simbolik penyerahan itu adalah pemenang pingat perak di Kejohanan Silat Dunia 1990 dan 1993, Zaleha Suradi; atlet bola jaring di Sukan SEA 2001, Rosmani@Rosnani Ismail dan atlet angkat berat para di Sukan Para ASEAN 2003, Muhammad Koh Abdullah.

Menurut kenyataan YAKEB, selain empat invididu berkenaan, seramai 96 lagi bekas atlet akan menerima sumbangan sama dan ia akan diserahkan secara individu manakala wang disalurkan ke akaun masing-masing oleh PPZ-MAIWP dalam masa terdekat.

Antara yang hadir dalam majlis simbolik di pejabat YAKEB adalah pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed; Penolong Pengurus Besar Khidmat Pelanggan & Susulan PPZ-MAIWP, Mohd Saufiyuddin Abu Bakar dan Pengurus Kanan Unit Hubungan Strategik PPZ-MAIWP, Nur Haliza Abd Rahman.

Pada pertengahan bulan ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerusi YAKEB dan selebriti, Puteri Sarah menyalurkan bantuan bakul makanan kepada kira-kira 87 atlet dan bekas atlet di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang terkesan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Di seluruh negara ada lebih kurang 156 orang atlet yang mahukan bantuan dan kita akan bantu. Kalau ada atlet yang mungkin segan, jangan malu, YAKEB sedia mendengar permohonan, menilai dan akan memberikan yang sehabis baik," kata Wan Ahmad Fayhsal ketika itu.

sumber daripada : Berita Harian

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Jul 29, 2021