KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi sinar baharu buat bekas atlet kebangsaan apabila sedang mempertimbangkan secara serius permohonan bagi mereka memiliki rumah sendiri.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata sebanyak 62 permohonon diterima pihaknya daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan ketika ini sedang mengenal pasti perumahan yang bersesuaian untuk atlet berkenaan sebelum proses serahan kunci.

Katanya, masalah yang dihadapi bekas atlet dalam perhatian pihaknya dan akan berusaha menyediakan kediaman yang sama seperti dilakukan kepada golongan artis veteran.

"Kita seharusnya menghargai sumbangan bekas atlet. Ada antara mereka sangat daif seterusnya memerlukan pertolongan.

"Saya sudah bertemu dengan YAKEB, dan daripada 62 permohonan, 80 peratus mungkin boleh dipenuhi. Cuma di Selangor dan Kuala Lumpur ambil masa bergantung kepada pembangunan di kawasan berkenaan.

"Jika di Selangor dan Kuala Lumpur, kami akan sediakan rumah kos rendah atau PPR (Projek Perumahan Rakyat) manakala di tempat lain seperti Kelantan mungkin boleh rumah atas tanah," katanya selepas majlis penyerahan sumbangan kepada bekas atlet kebangsaan, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Zuraidah turut menyampaikan sumbangan 300 kerusi roda kepada bekas atlet yang memerlukan.

Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata data terkumpul pihaknya merekodkan lebih 200 bekas atlet ketika ini masih lagi tidak mempunyai kediaman sempurna .

Berdasarkan situasi berkenaan, YAKEB akan terus berusaha memperjuangkan nasib bekas atlet dengan memastikan mereka mempunyai kediaman sendiri menerusi kaedah sewa beli, sewa atau peruntukan khas membina rumah di atas tanah sendiri.

"YAKEB terima 200 permohonan dan daripada jumlah itu hanya 64 layak dibawa ke KPKT untuk dipertimbangkan seterusnya berpeluang mendapat kediaman yang lebih selesa," katanya.

sumber daripada : BERITA HARIAN

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on May 05, 2021