KUALA LUMPUR: Kelangsungan hidup harus diteruskan meskipun perit untuk ditelan dan walaupun perlu berdepan pelbagai pandangan masyarakat.

Bagi bekas atlet renang para negara, Koh Lee Peng yang kisahnya kembali tular baru-baru ini kerana menjual barangan secara kecil-kecilan seperti tisu dan pelitup muka di sekitar Bukit Bintang, dia sedar akan hakikat hidup yang perlu dilaluinya.

Lee Peng yang cacat kedua-dua kaki dan bergerak menggunakan kerusi roda demi mencari rezeki seharian itu berkata, simpati orang ramai bukan sesuatu yang ditagih selain berharap mereka menerima cara dirinya berdikari.

“Kepada siapa lagi saya nak harapkan. Mulut orang saya tak boleh kawal dan apa yang penting saya tahu apa yang saya lakukan.

“Apa yang penting tuhan tahu apa yang saya lakukan dan saya tahu apa saya lakukan. Orang nak tular perkara yang baik atau tidak baik, itu saya tak boleh kawal.

“Orang cakap macam-macam terhadap saya, saya tak boleh buat apa, saya hanya boleh telan air liur saja. Memang kerja saya begini, selesa atau tidak, saya kena teruskan hidup,” kata Lee Peng, 48, yang sebelum ini kisahnya pernah tular pada tahun 2019 itu.

 

Kisah Lee Peng kembali menjadi bualan apabila seorang pengguna laman sosial Twitter memuatnaik rentetan pertemuannya dengan bekas Olahragawati Paralimpik 2016 itu di Bukit Bintang, baru-baru ini.

Susulan itu, ramai mempersoalkan peranan badan berwajib bagi membantu Lee Peng yang pernah mengharumkan negara dengan merangkul tujuh pingat emas dan tiga perak, masing-masing ketika beraksi di temasya Sukan Para ASEAN dari 2001 hingga 2005 itu.

Begitupun, ramai tidak menyedari yang keperitan hidup dilalui Lee Peng sebenarnya turut dirasai terutama oleh Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) selama ini.

Lee Peng yang berada di sini kerana mengikuti rakannya menghadiri kursus sebelum pulang ke Pulau Pinang esok, dalam pada itu berterima kasih atas keprihatinan diberikan YAKEB namun baginya, kehidupan harus tetap diteruskan tanpa terlalu mengharapkan ehsan.

“YAKEB memang ada membantu tetapi tidaklah setiap bulan atau setiap hari. Bukan saya saja atlet, ramai lagi (yang perlukan bantuan YAKEB). Jadi takkan saya mahu mengharapkan kepada mereka saja, tak boleh begitu,” katanya yang ditawarkan YAKEB untuk mengikuti Kursus Kejurulatihan-Sains Sukan Tahap 1 dari 24 hingga 28 Januari ini.

 

Sumber daripada Berita Harian

About the Author

By / WordPress › Error

There has been a critical error on this website.

Learn more about troubleshooting WordPress.