Kuala Lumpur: Isteri kepada legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek, Datin Latifah menghembuskan nafas terakhir, malam tadi.

Berita sedih berkenaan dikongsikan di akaun Facebook Majlis Sukan Negara (MSN) selepas arwah meninggal dunia pada jam 8.15 malam tadi.

"Dukacitanya dimaklumkan Datin Latifah, isteri kepada Datuk Misbun Sidek kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

"Sama-samalah kita panjatkan doa dan sedekahkan Al-Fatihah buat arwah dan semoga arwah ditempatkan bersama mereka yang disayangiNya. Takziah buat Datuk Misbun," kata MSN menerusi status yang dimuat naik dalam laman Facebooknya.

Pada 13 Julai lalu, isteri Pengarah Teknikal Skuad Remaja negara, itu dimasukkan ke wad di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana positif Covid-19.

Perkara berkenaan disahkan oleh pegawai khas Misbun, Nor Kamal Ahmad selepas arwah dimasukkan ke hospital pertengahan Julai lalu sebelum ditidurkan.

Sebelum ini arwah pernah dimasukkan di wad untuk rawatan buah pinggang namun terdapat kes pesakit lain positif Covid-19 dan arwah disuruh pulang serta menjalani ujian swab.

Allahyarham dan Misbun mendirikan rumah tangga pada tahun 1987 dan dikurniakan enam cahaya mata, Misbun Syawal, Lia Murni, Misbun Ramdan, Lia Alifah, Lia Dewi Rubita, dan Misbun Awalauddin.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria turut menzahirkan ucapan takziahnya menerusi di akaun Twitter miliknya.

"Salam Takziah buat Datuk Misbun Sidek sekeluarga diatas pemergian Isteri tercinta. Sama-sama kita doakan agar Arwah Datin Latifah Bte Sidek di tempatkan dalam kalangan para Solehah. Al-Fatihah," kata Norza.

sumber daripada : Metro

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Jul 29, 2021