KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengotakan janji untuk menyediakan bakul makanan kepada golongan atlet ataupun bekas atlet yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau akan terus bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dalam menyediakan bantuan kepada golongan atlet ataupun bekas atlet yang memerlukan.

"Ini satu kesinambungan daripada kenyataan saya baru-baru ini, di mana (kempen) bendera putih bermula. Saya memberitahu menerusi media, sekiranya ada atlet atau bekas atlet yang terkesan akibat PKP dan memerlukan bakul makanan, jangan malu-malu, terus saja hubungi YAKEB, saya dan YAKEB akan terus membantu.

"Seperti hari ini, kita kenal pasti di Kuala Lumpur dan Selangor saja ada lebih kurang 87 atlet atau bekas atlet yang terkesan. Atlet mungkin tidak (terkesan) sangat kerana mereka masih mempunyai elaun tetapi bekas atlet adalah golongan yang benar-benar kita mahu bantu.

"Di seluruh negara ada lebih kurang 156 orang atlet yang mahukan bantuan dan kita akan bantu. Kalau ada atlet yang mungkin segan, jangan malu, YAKEB sedia mendengar permohonan, menilai dan akan memberikan yang sehabis baik.

"Ini kempen yang kami buat di KBS dan bekerjasama dengan semua pihak dan hari ini kita bertuah kerana Puteri Sarah, seorang selebriti terkenal bersedia untuk membantu kita. Ini satu penghargaan kepada YAKEB dan KBS kerana ramai yang ingin membantu atlet yang terkesan di luar sana," kata Wan Ahmad Fayhsal ketika gimik penyerahan barangan di pejabat YAKEB, hari ini.

Awal bulan ini, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan berkata, atlet negara boleh berhubung terus dengan YAKEB dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapatkan bantuan kesihatan dan makanan.

Katanya, mereka tidak perlu mendapatkan bantuan menerusi kempen #BenderaPutih untuk mengatasi masalah keperluan asas walaupun kempen itu bermatlamat baik.

"Insya-Allah YAKEB adalah badan yang sentiasa ada untuk menjaga kebajikan atlet dan bekas atlet kita. Dalam hal ini, biarpun PKP akan tamat dan masih ada yang terkesan, kita akan terus cuba membantu sebab kita tahu kesan kepada PKP dan COVID-19 ini bukan sekadar selepas tamat PKP saja, ia akan berlanjutan dan kita sentiasa membantu menyediakan bakul makanan yang ada," katanya.

Kira-kira 300 bakul makanan diedarkan menerusi kerjasama antara Wan Ahmad Fayhsal, KBS, YAKEB dan Puteri Sarah pada kali ini untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negara.

Sementara itu, Puteri Sarah jelas teruja bekerjasama dengan KBS dan YAKEB dalam membantu bekas atlet dan orang ramai yang terkesan dengan PKP.

"Kami akan cuba bergerak secara skala lebih besar lagi, bukan saja di Kuala Lumpur tetapi juga negeri lain, Sarah akan cuba membantu. Saya minta orang ramai untuk turut sama membantu... kalau Sarah bergerak seorang mungkin boleh bantu 10 orang tetapi sekiranya bergerak lebih ramai, boleh membantu 1,000 orang," kata Puteri Sarah yang juga isteri kepada pelakon tersohor, Syamsul Yusof.

sumber daripada : Berita Harian

About the Author

By hanif / Administrator, bbp_participant on Jul 29, 2021