Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) ditubuhkan pada 25hb Julai 2007. Adapun matlamat utamanya adalah untuk membantu menguruskan kebajikan para bekas atlet yang telah bersara termasuk bekas atlet kelainan upaya (OKU) sebagai mengenang jasa serta pengorbanan mereka kepada negara.

Justeru, pelbagai program bantuan berbentuk kesejahteraan telah dilaksanakan dengan bertujuan untuk memberi manfaat kepada mereka. Aspek perubatan adalah merupakan antara bantuan yang amat diperlukan selain dari mencipta peluang untuk mereka meneruskan kerjaya setelah memasuki alam persaraan.

Segala aktiviti termasuk membiayai kos rawatan perubatan memerlukan kemampuan dari segi kedudukan kewangan dan semenjak dari awal penubuhannya, YAKEB bergerak melalui dana yang diperolehi hasil dari sumbangan pihak kerajaan, sektor korporat dan juga orang ramai.

Hanya melalui peruntukan kewangan yang konsisten sahaja yang mampu menjamin YAKEB dapat menggerakkan segala program kebajikan dan seterusnya melaksanakannya secara berterusan.

Sehubungan dengan itu, sebagai salah satu inisiatif untuk mengukuhkan kewangan di YAKEB, maka satu program yang berobjektifkan untuk mengutip dana (“Crowd Funding”) iaitu Kempen “Tabung YAKEB for X-Athlete” #TabungX telah dilaksanakan.

Program yang berpaksikan kepada ‘Humanitarian Aid’ ini bermatlamat untuk membantu khususnya bagi membiayai Skim Bantuan Khas YAKEB yang merupakan sumber bantuan utama kepada para bekas atlet Negara.

Bagi menjayakan Kempen TabungX ini, pelbagai program telah dirangka supaya ianya dapat menjangkau pelbagai lapisan masyarakat melalui minat yang berlainan.

Pengeluaran Kad Kenangan "Gold Bar" Lagenda Sukan Negara ini adalah salah satu dari inisiatif tersebut. Kerjasama 3 pihak diperlukan untuk menjayakan pengeluaran kad kenangan ini iaitu YAKEB, Triplenine World Gallery dan bekas atlet Negara yang berdaftar dengan YAKEB.

Pihak YAKEB cukup bertuah kerana 2 pihak telah sudi tampil untuk merealisasikan hasrat YAKEB untuk menjayakan inisiatif ini. Semuanya atas dasar kesedaran untuk membantu para bekas atlet Negara yang memerlukan.

Triplenine World Gallery telah tampil untuk membantu mengeluarkan kad dan seterusnya memasarkannya dengan kos ditanggung oleh mereka, ini sekaligus telah dapat membantu YAKEB menjimatkan dana kewangan yang sedia ada.

Seterusnya 3 orang bekas atlet Negara, iaitu Dato Hj Malek Nor, Dato M Rajamani dan Datuk Ng Joo Ngan, apabila mereka diajukan cadangan pengeluaran Kad Kenangan ini oleh pihak YAKEB, mereka dengan sebulat suara telah menyatakan persetujuan untuk terlibat sama membantu tanpa melatakkan sebarang syarat. Pada mereka ini adalah caranya untuk mereka membantu rakan seperjuangan mereka yang lain.

Kepada yang berminat untuk membuat tempahan Kad Kenangan ini, boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian hotline YAKEB 0320924844/4841 atau 0129996006 serta email yasmeen@yakeb.org.my atau triplenine.gorldworld@gmail.com.

About the Author

By thoriq / Administrator, bbp_keymaster on Nov 11, 2019

GIVE A REPLY