Masa : 2.30 ptg
Tempat : Pejabat Yakeb, Bkt Kiara

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaaan (YAKEB) memerlukan anggaran dalam RM1.5 juta setahun bagi menyalurkan peralatan sokongan yang tidak ditampung hospital kerajaan kepada bekas atlet yang memerlukan kemudahan disediakan yayasan berkenaan.

Justeru, YAKEB menubuhkan ‘Kempen Tabung YAKEB for X-Athlete’ bagi mengumpul dana berkenaan dan sehingga hari ini, jumlah yang sudah dikumpul adalah kira-kira RM80,000 dan dalam meneruskan usaha itu, mereka menganjurkan Larian Amal YAKEB-KL Teh Tarik Run yang dijadual berlangsung pada 22 Mac ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

YAKEB menyasarkan antara empat ke lima ribu penyertaan dapat dikumpul bagi program membabitkan dua kategori larian utama iaitu 10 kilometer (km) dan 5km tatkala mereka membuka tawaran yuran pendaftaran awal serendah RM38.

“Kami mempunyai RM80,000 dalam Tabung X-Athlete ini. Kami sudah mengasingkannya kepada dua akaun. Satu akaun untuk digunakan bagi tujuan perubatan dan satu lagi untuk masa depan. Apabila dana bagi perubatan ini selesai, kita akan masukkan dalam tabung yang satu lagi.

“Kami mempunyai satu skim perubatan baharu yang disyorkan Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara. Jadi, kami perlu membeli alat perubatan, alat sokongan kepada bekas atlet memerlukan yang mana pihak hospital tidak sediakan.

“Jadi YAKEB mempunyai harapan besar iaitu mahu membiayai mereka secara 100 peratus, kami tak nak beri separuh-separuh saja dan disebabkan itulah kami ingin mengumpul dana bagi mengisi tabung ini,” katanya dalam sidang media larian berkenaan di pejabat YAKEB, semalam.

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada masyakarat di lur sana tanpa mengira lapisan untuk turut sama menyertai acara Larian Amal YAKEB-KL Teh Tarik Run ini. Sambil beriadah, mereka juga turut menderma untuk tabung ini sebagai simbolik pengiktirafan dan penghargaan atas jasa bekas atlet ini,” tambahnya lagi.

Untuk pendaftaran, orang ramai boleh membuat secara dalam talian sehingga 5 Mac ini menerusi laman web www.checkpointspot.asia/yakeb4tabungx atau di www.jomrun.com/event/YAKEB-RUN-2020 manakala tawaran yuran pendaftaran awal boleh dibuat sekarang sehingga 31 Januari ini.

Oleh Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my

Credit : Berita Harian

Kenyataan Media di Buletin Utama, TV3.

YAYASAN KEBAJIKAN ATLET KEBANGSAAN
YAKEB ANJUR ‘KL TEH TARIK RUN’
UNTUK TAMBAH DANA #TABUNGX

Teks Ucapan Kenyataan Sidang Media:-

Assalamu’alaikum WBT dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan media yang telah sudi hadir pada hari ini. Kehadiran anda semua dalam menyokong program-program yang dianjurkan oleh Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan amatlah kami hargai.

Untuk pengetahuan Tuan-tuan dan Puan-puan, kita berkumpul hari ini adalah dengan tujuan untuk mewar-warkan program Larian Amal Yakeb-KL Teh Tarik Run.

Bersama-sama saya pada hari ini ialah Dato’ Sri Megat Shahriman Dato’ Zaharudin Ahli Lembaga Pengarah YAKEB yang juga salah satu dari penaja larian, saudara Ganesan iaitu merupakan seorang bekas atlet olahraga Negara dan ahli YAKEB yang bertindak sebagai pengurus acara untuk program larian ini dan seorang lagi individu yang rasanya tidak perlu saya perkenalkan lagi iaitu Datuk Vigethuman iaitu Yang Dipertua Persatuan Olahraga Kuala Lumpur yang akan membantu dari segi teknikal tuntuk larian ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati
Umum mengetahui bahawa pada tahun 2019 YAKEB telah menggerakkan satu kempen dalam usahanya untuk mengumpul dana bagi membantu membiayai skim bantuan yang ditawarkan kepada para bekas atlet Negara.
Skim Bantuan Khas YAKEB yang terdiri dari bantuan aspek perubatan sehinggalah melanjutkan pelajaran ni memerlukan peruntukan yang berterusan demi untuk memastikan ianya mampu kekal berfungsi.

Justeru, Kempen Tabung YAKEB for X-Athlete telah digerakkan dimana matlamat utama kempen ini adalah bagi mengumpul dana untuk TabungX yang telah diwujudkan untuk para bekas atlet seperti mana Tabung Pahlawan untuk anggota tentera.
Pelbagai aktiviti telah dianjurkan untuk membolehkan agensi kerajaan, sektor swasta dan orang ramai untuk terlibat sama didalam kempen ini.

Dan, salah satu darinya ialah Larian Amal Yakeb-KL Teh Tarik Run yang akan di adakan pada hari Ahad 22hb Mac 2020 di Dataran Merdeka. Acara larian ini adalah terbuka kepada mereka yang ingin beriadah dan juga kepada mereka yang inginkan persaingan.
Terdapat 2 kategori untuk larian sejauh 10 km iaitu Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita bagi peserta berusia 17 tahun ke atas manakala 2 kategori lagi untuk Lelaki Veteran dan Wanita Veteran untuk peserta berusia 40 tahun ke atas pada jarak yang sama. Yuran penyertaan adalah sebanyak RM52.00 untuk early bird atau pendaftaran awal manakala yuran biasanya adalah sebanyak RM62.00.

Seterusnya untuk kategori Fun Run dengan jarak 5 km, ianya terbuka kepada Lelaki dan Wanita berusia 8 tahun ke atas. Yuran penyertaan adalah sebanyak RM38.00 untuk early bird manakala yuran penyertaan biasa adalah sebanyak RM48.00 sahaja.

Pendaftaran secara online boleh dibuat bermula sekarang hingga 5 Mac 2020 menerusi laman web,

i) www.checkpointspot.asia/yakeb4tabungx
ii) www.jomrun.com/event/YAKEB-RUN-2020

Untuk penyertaan early bird adalah bermula sekarang sehingga 31 Januari 2020.

Kita semua tahu bahawa elemen sukan dan hiburan mampu menyatukan masyarakat dan kali ini dalam acara sukan yang dianjurkan oleh YAKEB, kita ingin mengetengahkan satu lagi elemen iaitu Teh Tarik, yang merupakan satu minuman yang begitu sinonim dengan rakyat Malaysia, tanyalah mana-mana rakyat Malaysia sekiranya mereka ke luar Negara, apa yang paling mereka rindukan, salah satu jawapannya pastilah Teh Tarik.
Dan, bersesuaian dengan Tahun Melawat Malaysia pada tahun ini, jadinya kita juga ingin mengambil kesempatan untuk turut sama mempromosi Malaysia menerusi minuman yang digemari rakyatnya dalam acara ini. Ini juga merupakan salah satu motto penganjuran program di YAKEB iaitu Giving Back To The Nation.

Memandangkan jumlah dana yang terkumpul bergantung kepada jumlah peserta yang menyertai acara larian ini, maka kami ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyeru kepada masyarakat di luar sana tanpa mengira lapisan untuk turut sama menyertai acara Larian Amal YAKEB-KL Teh Tarik Run ini. Sambil mereka beriadah, mereka juga turut menderma ke #TabungX sebagai simbolik pengiktirafan dan penghargaan atas jasa bekas atlet bukan sahaja kepada dunia sukan Negara malah kepada perpaduan yang telah mereka cipta untuk kita semua sewaktu kita memberi sokongan kepada mereka yang berjuang dengan mengibarkan bendera jalur gemilang di tengah gelanggang.

Akhirnya, di sini kami turut ingin menyeru kepada rakan-rakan media yang hadir pada hari ini agar dapat sama membantu mewar-warkan acara larian ini supaya ianya mampu menarik lebih ramai penyertaan ke acara larian amal yang julung-julungkalinya diadakan oleh YAKEB ini.

Sekian. Terima kasih.

 

Petikan daripada Facebook Bernama TV

Larian Amal YAKEB – KL Teh Tarik Run bantu bekas atlet negara
#KhabarPagiBERNAMA : Bagi memastikan usaha membantu bekas atlet negara dapat diteruskan, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) semalam melancarkan inisiatif terbaru mereka. 

About the Author

By khidir / Administrator, bbp_keymaster on Jan 22, 2020