Isnin, 24 Februari 2020.

Ipoh: Program Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Turun Padang 2.0 menerima sambutan baik daripada bekas atlet kebangsaan di Perak, kelmarin.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata pihaknya mempunyai 200 ahli di negeri ini dan hampir separuh daripada mereka menghadiri program itu.

“Kami ada 200 ahli di Perak, 141 lelaki dan 49 wanita. Jadi menerusi program ini, kami memberi ruang kepada mereka mngemukakan masalah yang dihadapi dan cuba menyelesaikannya.

“kami juga menggunakan kesempatan ini memberitahu isu semasa, sebagai contoh seperti skim perubatan kerajaan yang baharu dan perbincangan mengenai kelayakan kemasukan ahli Yakeb,” katanya.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah YAKEB, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman.

Program YAKEB Turun Padang 2.0 di Perak ini yang kedua selepas Melaka menjadi destinasi awal lawatan, bulan lalu.

Di Melaka, YAKEB berjaya mengumpulkan kira-kira 50 bekas atlet Melaka, antaranya bekas pemain bola sepak, Robert Choe Kim Chwee dan V Kalimutu, bekas atlet silat, Ahmad Wardi Salim dan Bibi Aishah Golbal Shah, bekas petinju, Zulkifli Yaakob dan Nekmat Jantan, serta bekas gimnas, Ching Joo Lan.

Mengulas lanjut mengenai destinasi program selepas ini, Noorul berkata, mereka mempunyai cadangan bertemu bekas atlet di Negeri Sembilan pada masa terdekat ini.

“Secara keseluruhan YAKEB mempunyai 2,780 ahli dan jumlah ini bertambah dari semasa ke semasa. Buat masa ini juga, kami mempunyai kira-kira 120 permohonan baharu,” kata Noorul.

 

Sumber : Berita Harian

About the Author

By khidir / Administrator, bbp_keymaster on Mar 03, 2020